Entri asal dari blog peribadi Muhammad Lutfi Ishak, Biro Penulis Muda PENA
Idea untuk melaksanakan Dialog Orang Muda (DOM) sebenarnya lahir dalam satu pertemuan dengan rakan-rakan penulis di Bangsar Selatan. Dialog Orang Muda ialah legasi Dialog Pinggir, yang pernah saya dan Saiful laksanakan dahulu - namun, akhirnya Dialog Pinggir itu betul-betul terpinggir.
Dialog Orang Muda sebenarnya bukanlah kerja seorang individu. DOM ialah kerja sekumpulan penulis muda yang mempunyai visi dan misi untuk menghidupkan kembali wacana dalam konteks sastera tempatapan. Suka saya sebutkan juga, dua orang yang paling penting dalam DOM ialah Saifullizan, dan seorang lagi ialah seorang wartawan sastera yang juga penulis - yang sentiasa memimpinkan dunia sastera yang lebih hangat dan bermakna dalam mimpi-mimpinya ketika sering tidur di rumah PENA.Tanpa kedua-dua orang tenaga penting itu - DOM yang telak dilaksanakan pada 6 Mac yang lalu - sukar untuk dibayangkan kelahirannya.
Secara jujur, dalam DOM - kami mengimpikan keberanian penulis muda dalam memperkatakan hal-hal yang agak ditakuti atau selama ini tidak begitu berani diperkatakan. Kami mahu melihat percambahan idea dan pendapat - dan ingin kami nyatakan di sini - DOM ialah satu program yang diadakan untuk mengenal pasti pelbagai isu - sama ada bersifat falsafah, pop atau apa saja - yang timbul dan bergolak dalam sastera dan seni tanah air.
Sebab itu, corak dialog ini lebih bersifat 'pertukaran dan penyanggahan pendapat' antara panel dan audiens. Kami sengaja mewujudkan suasana sebegini akibat muak dengan pelbagai tanggapan yang sentiasa meletakkan penulis/orang muda di bawah perkiraan yang munasabah. Dalam kata yang lain, orang/penulis/seniman muda menjadi mahkluk subordinat - makhluk pinggiran. Dan saya pun tidak tahu, entah mengapa pendapat sebegini dibiarkan berleluasa oleh golongan muda sendiri, tanpa sebarang perlawanan. Secara peribadi, saya melihat orang muda sangat istimewa. Kerana itu, saya cukup meluat dengan sesetengah orang, khususnya penulis mapan, yang apabila bercakap, seolah-olah merasakan isi percakapan mereka ialah satu sabda dan fatwa. Seolah-olah, pandangan mereka akan diterima tanpa kritikan.
Kita sebenarnya hidup dalam konteks masa yang sangat berbeza. Suasana politik kita ternyata bukanlah mesra sangat dengan dunia sastera. Begitu juga dengan masyrakat - yang sudah terpisah jauh dari orang sastera, akibat orang sastera sendiri yang tidak mahu berada di dalam masyarakat. Akibat orang sastera sendiri yang mahu hidup dalam dunia kecil mereka. Lihat sahaja dalam konteks PPSMI yang kejam itu; kita harus bertanya di mana suara orang muda? Adakah suara orang muda hanya layak untuk mengisi ruang kosong di jalan raya?
Banyak lagi persoalan yang harus dijawab dengan berani oleh kita; orang muda. Dunia ini, ialah dunia orang muda. Dan dunia sastera ini, memerlukan orang muda, yang berani melakukan kritikan, terhadap sesiapa sahaja, yang boleh meruntuhkan nilai dan dunia sastera ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan