Selasa, 17 Jun 2014

Sasterawan Negara Wanita: Merit atau Kuota?

Perbincangan tentang "Sasterawan Negara Wanita" pertama belakangan ini makin hangat. Ada desas-desus menyatakan, sudah ada beberapa nama penulis wanita yang telah dicalonkan untuk Anugerah Sastera Negara bagi tahun ini. Anugerah Sastera Negara, dalam konteks dunia kesusasteraan kebangsaan, ialah pengiktirafan paling tinggi dari kerajaan kepada golongan penulis.

Namun begitu, persoalannya, apakah memang ada penulis wanita yang betul-betul layak untuk menerima anugerah tersebut. Dalam satu wawancara dengan Dewan Sastera, SN Shahnon Ahmad, menjawab dengan tegas bahawa belum ada penulis wanita yang layak untuk dipertimbangkan. Sudah tentu, pandangan itu bersifat peribadi, namun, apabila dibuat oleh Shahnon Ahmad, maka menimbulkan pelbagai persepsi dan perbincangan.

Walau bagaimanapun, dalam kalangan penulis, ada ramai yang berpandangan sebaliknya. Bagi mereka, sudah ada penulis wanita mapan yang layak untuk dipertimbangkan, misalnya Fatimah Busu, Siti Zainon Ismail dan Datuk Zurinah Hassan. Ketiga-tiga penulis wanita iini dianggap representasi yang paling kuat, mempunyai nuansa yang tersendiri dan mempunyai sejarah yang panjang.

Biarpun begitu, ada juga penulis dan khayalak sastera yang terus bersifat sinikal. Misalnya mereka berpandangan bahawa, jika ada penulis wanita yang menerima Anugerah Sastera Negara, tindakan itu bukannya diasaskan oleh faktor merit dan kualiti, tetapi lebih kepada pertimbangan yang bersifat 'politik sastera' dan berasaskan 'kuota'. Apakah pandangan ini benar?

Menyedari hal ini terus diperkatakan, DOM yang akan dilangsungkan pada 22 Jun 2014 akan mengutarakan permasalahan ini untuk didialogkan. Untuk tujuan itu, 3 orang panel dijemput bagi mengupas hal ini iaitu Dr. Norhayati Abd. Rahman, Hafizah Iszahanid dan Wan Nor Azriq. Seperti biasa, DOM diadakan di Rumah PENA dan terbuka kepada semua pihak. Dialog akan bermula pukul 11.00 pagi.